Monday, January 31, 2011

Terramycin LA - Pfizer - Ubat Ternakan


Assalamualaikum & Salam 1 Malaysia,

Oxytetracycline Dihydrate Terramycin LA 100ml keluaran Pfizer merupakan antara antibiotik yang kuat dan gemar di gunakan oleh para penternak. Setiap 1ml Terramycin LA mengandungi 200g Oxytetracycline Base dan ia amat berkesan untuk merawat dan mencegah bakteria yang menjadi punca masalah atau penyakit pernafasan dan juga penyakit yang anti-oxytetracycline bagi lembu, kambing, bebiri, rusa, ayam, arnab dan juga lain-lain ternakan.

Bagi lembu, kambing, bebiri dan rusa kadar dos suntikan 1ml adalah untuk 10kg berat badan, manakala 0.25ml untuk 1kg berat badan bagi ayam dan arnab. LA bermaksud Long Acting, iaitu Terramycin LA ini mampu bertahan di dalam darah ternakan yang telah disuntik selama 3 hingga 5 hari.


Namun bagi ternakan yang telah disuntik dengan Terramycin LA ini, adalah di larang untuk penyembelihan dagingnya selama 21 hari dan pemerahan susunya selama 7 hari. Ada juga sesetengah doktor veterinar dan penternak yang kurang gemar menggunakan Terramycin LA ini terus kerana dos antibiotiknya yang tinggi, mereka menyarankan agar penternak bermula dengan ubat antibiotik yang berdos rendah terdahulu.


Sebenarnya bermula dengan antibiotik atau ubat yang berdos tinggi tidaklah digalakkan kerana khuatir bakteria yang menyerang ternakan akan imun, oleh itu bermula dengan pemberian ubat yang berdos rendah dahulu sehinggalah ke ubat yang berdos tinggi. Sama juga dengan pemberian ubat untuk cacing, kutu dan kurap. Jika bakteria tadi telah imun dengan ubat yang berdos tinggi maka tiada cara selain mentakai atau menyembelih ternakan yang sakit tadi.


Namun pada pendapat kami jika bilangan ternakan telah melebihi 50 ekor adalah lebih baik menggunakan ubat antibiotik ini kerana kesannya yang mampu mencegah dan merawat penyakit agar ia tidak berjangkit pada ternakan yang lain dan kemampuannya bertahan di dalam darah selama 3 - 5 hari mampu menjimatkan masa & tenaga sekaligus menjimatkan kos. Untuk maklumat lanjut sila rujuk gambar di bawah ini.


Sunday, January 30, 2011

Mamimune - SunZun - Ubat Ternakan




Mamimune 200ml keluaran SunZun merupakan bahan imulsi untuk meningkatkan sistem imuniti atau daya tahan bagi anak kambing yang baru di lahirkan. Ia mengandungi ekstrak tumbuhan, peningkat imuniti dan juga multivitamin. Dengan pemberian secara oral, ianya di beri pada kadar dos 2-4ml iaitu sekali atau dua kali pam. Bagi anak kambing yang lemah, ulangi pemberian dos ini selama tiga hari beturut-turut.




Lawatan Pelajar Kolej Universiti Islam Malaysia (KUIS)




Assalamualaikum & Salam 1 Malaysia,

Syukur Alhamdulillah, bertemu lagi kita pada hari ini. Pada hari ini juga kami telah mencipta rekod dengan menerima lawatan pelajar dari ahli Kelab Permata dari Kolej Universiti Islam Selangor (KUIS) seramai 40 orang bersama 2 pensyarah iringan. Walaupun kami belum memiliki kemudahan yang selesa untuk mengadakan seminar mahupun kursus namun dengan ruangan pejabat yang kami ada, kami menjadikannya sebagai tempat untuk memberi taklimat. Mereka merupakan pelawat formal kami yang pertama.

Haji Hasan memberi taklimat kepada para pelajar.

Apa yang kami difahamkan, Kelab Permata merupakan kelab usahawan, ia berfungsi untuk mendidik dan memupuk para ahlinya untuk berniaga. Dengan memberikan pendedah awal seperti lawatan ini ia dapat membantu meningkatkan serba sedikit tentang pengetahuan mereka dan membina rangkaian perniagaan yang bakal mereka mulakan.

Azmi memberi keterangan kepada para pelajar.

Hampir selama 2 jam mereka disini, penerangan demi penerangan kami terangkan, soalan demi soalan kami jawabkan, selepas menikmati jamuan makan tengahari kami & mereka berangkat ke kandang untuk melihat sendiri ternakan kami.

Trofi sumbangan pelajar tanda lawatan mereka.


Wednesday, January 26, 2011

Wound Sarex - Ubat Luka


Assalamualaikum & Salam 1 Malaysia,

Syukur Alhamdulillah bertemu lagi kita pada hari ini dan hari ini kami akan membentangkan satu lagi ubat ternakan yang sering kami gunakan di kandang kami iaitu Wound Sarex. Wound Sarex sejenis ubat luka berbentuk aerosol yang mudah dan cepat untuk di gunakan pada ternakan atau haiwan peliharaan yang mengalami luka biasa atau luka yang parah.

Ubat ini di daftarkan oleh CANAAN ALPHA SDN BHD dan diedarkan oleh YAU ENTERPRISE SDN BHD. Setin 370ml Wound Sarex ini mengandungi Perawis Aktif : Cyphenothrin 0.6% w/w dan Perawis Lengai : 99.4% dan ia jatuh pada racun Kelas IV oleh itu jauhkannya daripada makanan dan juga kanak-kanak. Dan AMARAN jangan sembelih ternakan sekurang-kurangnya 14 hari selepas semburan terakhir.


Wound Sarex di gunakan untuk mengubat dan mencegah luka berengga yang di sebabkan oleh lalat cacing skru (screw worms flies). Ia mudah di gunakan dan mampu mempercepatkan proses penyembuhan luka pada ternakan dan haiwan peliharaan selepas di kembiri atau pembedahan. Ia juga boleh mengubati gata-gatal kulit.


Semburkannya 2 kali sehari pada kawasan luka dan beri suntikan Terramycin LA mengikut berat badan haiwan tadi, Insyaallah ia akan cepat sembuh. Mengikut pengalaman kami, ternakan kambing kami sering luka pada telinga disebabkan tag nombor dan celah kuku kaki akibat dari lantai kandang yang tidak rata.


Kebanyakan kes ternakan kami, luka tadi telah parah kerana dijangkiti dengan ulat berengga tanpa kami sedari oleh itu ia mengambil masa yang lama untuk ianya sembuh. Namun dengan amalan tadi mampu menyembuhkan ternakan kami, syukur Alhamdulillah.


Tuesday, January 25, 2011

Terramycin Pinkeye Aerosol - Pfizer - Ubat Sakit Mata


Assalamualaikum & Salam 1 Malaysia,

Penyakit mata atau lebih di kenali dengan Pink Eye Problem merupakan antara penyakit yang mudah berjangkit kepada ternakan kambing, bebiri dan juga lembu yang diternak secara fidlot atau intensif. Maka pengasingan segera ternakan yang di jangkiti perlu dilakukan untuk mengurangkan dan mencegah daripada ianya merebak ke ternakan lain.


Ia boleh menyerang sebelah mahupun kedua-dua belah mata ternakan, dengan penglihatan ternakan yang akan menjadi kabur maka selera serta nafsu makan akan berkurangan. Ia juga boleh menyebabkan kematian, namun bukan berpunca dari penyakit ini, ia berpunca daripada kebuluran kerana ternakan yang di jangkiti tadi tidak dapat melihat untuk makan dan minum.


Setin Terramycin Pinkeye Aerosol 125g mengandungi Oxytetracycline Hydrochloride 2mg setiap gram. Bahan ini juga terdapat pada Tetravet Aerosol namun ianya di khususkan untuk kegunaan luaran manakala Terramycin Pinkeye Aerosol pula pada mata.


Bagi ternakan yang di jangkiti dengan penyakit ini, adalah di nasihatkan untuk menyemburkannya 4 kali sehari pada dalam dan luaran mata ternakan tadi. Bagi kami setiap penternak memerlukan setin Terramycin Pinkeye Aerosol ini di dalam stok simpanan sebagai langkah pencegahan dan rawatan segera. Adalah lebih baik jika anda mendapatkan info lanjut daripada doktor veterinar, kami hanya memberi pendapat atas pengalaman kami.


Monday, January 24, 2011

Tetravet Aerosol - Bomac



Tetravet Aerosol keluaran Bomac merupakan ubat ternakan di dalam kategori antibiotikjenis semburan. Ia digunakan untuk merawat dan mengawal jangkitan-jangkitan yang biasa menyerang haiwan ternakan mahupun peliharaan. Dengan kapasiti 200g setin, setiap gram mengandungi Oxytetracycline Hidrocloride 40mg, Gentian violet 4mg & Propellant Hydrocarbon.


Ia boleh digunakan untuk rawatan luka-luka kecil, namun bagi luka yang kritikal seperti telah di jangkiti dengan cacing skru (Screw Worm) ianya tidak sesuai. Kami menggunakan Tetravet Aerosol ini untuk merawat ternakan kami yang di jangkiti POX virus iaitu Puru atau nama saintifiknya CONTAGIOUS ECTHYMA dengan 2 kali semburan setiap hari pada ternakan yang di jangkiti dan juga nipple air minum petak kami.


Pada pendapat kami, bagi mereka yang berjauhan dengan klinik veterinar, mereka perlu menyimpan setin Tetravet Aerosol ini sebagai langkah pencegahan segera jika ternakan mereka mempunyai tanda-tanda serangan penyakit puru. Dengan langkah pencegahan awal ini, Insyaallah dapat mengurangkan jangkitan penyakit puru yang mudah berjangkit ini, namun jangan lupa untuk mengasingkan ternakan yang di jangkiti dari ternakan yang sihat.


Thursday, January 20, 2011

Korban & Aqiqah Secara On Line

Sijil Kursus Sembelihan AZMI.

Setelah 10 bulan kami beroperasi, Syukur Alhamdulillah kepada Illahi kini purata permintaan kambing aqiqah kami telah melebihi 5 ekor sebulan. dengan permintaan yang menarik ini pada bulan Disember 2010 yang lepas, kami telah membentangkan satu idea untuk membuat program korban & aqiqah secara on-line. Dengan itu satu perancangan telah pun kami lakukan untuk mengetahui cara & kaedahnya serta apa yang kami perlukan untuk merialisasikan program itu.

Kini kami telah menghubungi beberapa masjid dan tahfiz yang terdapat di sekitar kawasan kami untuk bekerjasama dengan kami bagi menjayakan program kami ini. Di harap pada bulan Mac 2011 nanti program ini dapat kami ketengahkan kepada para pelawat blog dan pelanggan kami.

Ma'ahad Tahfiz Al-Quran Wal Imamah (MATQI) antara yang terawal berminat untuk bekerjasama dengan kami.


Peti Sejuk Beku - Produk Daging & Susu Kambing


Assalamualaikum & Salam 1 Malaysia,

Setelah kami mencapai kata sepakat, Syukur Alhamdulillah kini kami sudah memiliki sebuah peti sejuk beku bagi memudahkan lagi operasi ladang kami. Walaupun ianya di bayar secara ansuran sebanyak RM100 sebulan namun dengan adanya peti sejuk beku ini dapatlah kami mengeluarkan beberapa produk secara kecil-kecilan bagi menampung permintaan di sekitar Meru, Bukit Kapar, Bukit Cherakah dan juga Bukit Kerayong.

Sebagai permulaan kami menyembelih dan memproses seekor kambing siap dengan pembungkusan dengan harga promosi 1kg = RM20 bagi memperkenalkan ladang dan daging kambing kami dalam jangka masa 4 hari ianya habis di jual. ia merupakan satu perkembangan positif atas permintaan daging kambing di kawasan kami.


Kami juga mengeluarkan susu kambing sejuk beku siap dengan pembungkusan botol 250ml dengan harga RM5 sebotol, namun belum lagi kami labelkannya. Alhamdulillah kini kami mempunyai pelanggan tetap untuk produk-produk kecilan kami ini.