Saturday, February 26, 2011

TERUMO - Pincagari (Syringe) dan Jarum (Needle)


Assalamualaikum & Salam 1 Malaysia,

Di sini kami ingin menceritakan pincagari dan juga jarum yang biasa kami gunakan untuk ternakan kambing kami. Jenama TERUMO sememangnya tidak asing lagi bagi para penternak, doktor-doktor veterinar dan juga doktor-doktor di klinik mahupun hospital, ini kerana TERUMO merupakan salah satu pengeluar barang dan peralatan kesihatan. Untuk pengetahuan semua, saiz jarum suntikan untuk setiap ternakan adalah berbeza-beza diharap dapat merujuk pada Doktor Veterinar.

Jarum suntikan untuk kambing (21G x 1" @ 0.80 x 25mm)

Saiz jarum yang kami gunakan untuk ternakan kambing kami ialah 21G x 1" atau 0.80 x 25mm. Sekotak TERUMO Needle ini mengandungi 100 unit jarum dan ia digunakan sekali sahaja iaitu satu jarum untuk seekor kambing untuk mengelakkan jangkitan kuman atau penyakit berpindah ke kambing yang lain.

Pincagari 5cc/ml (Sekotak 100 unit)

Saiz pincagari yang biasa kami gunakan pula ada 2 jenis saiz iaitu 5cc/ml dan 50ml. Sekotak pincagari 5cc/ml mengandungi 100 unit pincagari manakala sekotak pincagari 50ml mengandungi 20 unit pincagari. Pincagari 5cc/ml kami gunakan untuk suntikan ubat kepada kambing kami manakala 50ml pula, kami gunakan untuk memberi ubat secara oral. Sebagai contoh untuk ubat cirit iaitu Scourban Plus yang diberi secara oral, kami sambung hos bersaiz 6mm pada pincagari dan mengisi pincagari tadi dengan ubat Scourban Plus mengikut dos yang diperlukan.

Pincagari 50ml (Sekotak 20 unit)

Pemberian ubat secara oral menggunakan kaedah ini dapat memudahkan dan mempercepatkan kerja kerana kami tidak perlu lagi bergelut memaksa ternakan kambing kami untuk membuka mulutnya.

Perbezaan pincagari 5cc/ml dengan 50ml

Saturday, February 19, 2011

Molases atau Gula Merah


Assalamualaikum & Salam 1 Malaysia,

Molases atau gula merah sememangnya antara keperluan yang popular bagi penternak lembu mahupun kambing. Ianya beri secara oral iaitu dicampur di dalam air minuman ternakan dan ada juga yang memberi secara semburan pada makanan ternakan. Ada juga penternak yang hari-hari memberi molases kepada ternakan mereka namun pemberian 1 kali seminggu pun sudah mencukupi.


Molases boleh menyebabkan ternakan ketagih dan dengan cara ini penternak mampu mendisplinkan ternakan mereka, sebagai contoh bagi penternak yang menternak secara lepas pemberian molases di dalam air minum pada setiap petang mampu mendisplinkan ternakan untuk pulang pada setiap petang.


Molases mempunyai bahan kering (Dry Matter) dan tenaga metabolisma (Metabolisable Energy) yang tinggi dan mampu melengkapkan gizi makanan harian ternakan malah menambah selera makan ternakan. Di sini kami ingin berkongsi maklumat yang kami perolehi hasil analisa Makmal Pemakanan Institut Veterinar, Kluang selama beberapa tahun dan semua keputusan analisa bahan adalah diambil dari purata pengumpulan sampel bahan tersebut.


Dry Matter Crude Protien Crude Fibre Metabolisable Energy
Molases 1 93.2% 1.4% 0.7% 13.96%

Molases 2 81.0% 3.7% 0.0% 12.61%

Untuk mengetahui lanjut mengenai keperluan nutrien harian ternakan dan formula pengiraannya, boleh rujuk pada pos kami bulan Ogos 2010 atau klik link di bawah ini. Harap kami dapat membantu anda.



Wednesday, February 16, 2011

Lawatan ke Bukit Ramlee - Feb 2011



Assalamualaikum & Salam 1 Malaysia,

Pada awal bulan Februari yang lepas, saya telah pergi melawat ke Bukit Ramlee untuk melihat sambil meninjau perkembangan projek penanaman nenas milik Wak Ramli. Banyak juga perubahan yang dapat saya lihat dari segi infra mahupun tanaman. Kini Wak Ramli sedang menyiapkan batas-batas untuk menanam sayur-sayuran sebagai sumber pendapatan segera bagi menampung kos bulanan beliau.

Antara kenderaan ladang yang baru, kereta kancil diubah suai untuk mengangkat tong racun, pada hujung minggu pula untuk mengangkat basikal.

Antara infra yang sedang dalam pembinaan, pentas dan juga chalet.

Selain papan tanda ke Bukit Ramlee, papan tanda untuk pokok juga telah dipasang.

Projek terkini Wak Ramli, Projek Tanaman Kontan (ACDA) bimbingan Jabatan Pertanian Negeri Selangor. Status projek kini dalam pembinaan batas-batas sayuran.

Menghitung bulan, Nenas Yankee atau Selangor Sweet yang kini hampir matang. Tujuan kain perca itu adalah untuk menngaburi sang monyet.

Monday, February 14, 2011

Tanam Cili Sebagai Hobi & Sumber Pendapatan Sampingan


Cili Oh Cili...!!! Syukur Alhamdulillah kami mempunyai pekerja yang begitu rajin, gigih lagi kreatif. Idea penanaman cili ini muncul dengan sendirinya oleh Iwan salah seorang pekerja kami yang mempunyai pengalaman dalam penanaman cili secara komersial. Banyak juga anak benih yang telah di semai dan kini anggaran dalam 250 pokok cili yang telah di pindahkan dari tapak semaian dan di tanam.

Penyediaan batas digembur dan ditabur dengan tinja kambing mentah dan dibiarkan selama 2 minggu untuk menjadikan tanahnya subur.

Sementara menunggu batas siap, benih cili disemai, sihat-sihat belaka benih cili ini.

Setelah batas siap, anak benih cili pun matang, ianya dipindahkan ke batas cili oleh Iwan.

Formula bancuhan baja tinja kambing rekaan Iwan sendiri.

Bukan sahaja pokok cili yang menghijau, pokok mulberi dan gracilia juga hijau-hijau belaka.

Pokok cili yang sudah tinggi diikat pada batang pokok senduduk kerana batang pokok senduduk tidak akan bercendawan sekaligus dapat mengurangkan risiko serangan penyakit kulat.