Monday, February 14, 2011

Tanam Cili Sebagai Hobi & Sumber Pendapatan Sampingan


Cili Oh Cili...!!! Syukur Alhamdulillah kami mempunyai pekerja yang begitu rajin, gigih lagi kreatif. Idea penanaman cili ini muncul dengan sendirinya oleh Iwan salah seorang pekerja kami yang mempunyai pengalaman dalam penanaman cili secara komersial. Banyak juga anak benih yang telah di semai dan kini anggaran dalam 250 pokok cili yang telah di pindahkan dari tapak semaian dan di tanam.

Penyediaan batas digembur dan ditabur dengan tinja kambing mentah dan dibiarkan selama 2 minggu untuk menjadikan tanahnya subur.

Sementara menunggu batas siap, benih cili disemai, sihat-sihat belaka benih cili ini.

Setelah batas siap, anak benih cili pun matang, ianya dipindahkan ke batas cili oleh Iwan.

Formula bancuhan baja tinja kambing rekaan Iwan sendiri.

Bukan sahaja pokok cili yang menghijau, pokok mulberi dan gracilia juga hijau-hijau belaka.

Pokok cili yang sudah tinggi diikat pada batang pokok senduduk kerana batang pokok senduduk tidak akan bercendawan sekaligus dapat mengurangkan risiko serangan penyakit kulat.


Ubat Ternakan - Scourban Plus - BOMAC


Scourban Plus keluaran BOMAC ini merupakan ubat cirit-birit jenis oral (Oral Antidiarrhoeal Treatment) bagi ternakan mahupun haiwan peliharaan, ia sesuai digunakan pada lembu, kambing, bebiri, kuda malah pada kucing. Di pasaran Malaysia ia terdapat dalam dua jenis pek pembungkusan iaitu 225ml dengan pam dan 2 liter. Bagi pek pembungkusan dengan pam, sekali pam akan mengeluarkan 1ml dan ubat ini diberikan secara oral iaitu terus ke mulut ternakan yang sakit.


Kadar dosnya pula 1ml untuk 1kg berat ternakan bermaksud jika berat ternakan 15kg maka dos sebanyak 15ml diperlukan. Ia diberi 2 kali sehari iaitu pada waktu pagi dan petang pada ternakan yang sakit dengan pemberian 2ml/kg untuk rawatan pertama dan 1ml/kg pada rawatan seterusnya hingga ternakan sembuh dan tiada cirit-birit kelihatan. Namun ternakan tadi tidak boleh disembelih selama 14 hari dari hari akhir rawatan.


Mengikut pengalaman kami, bukan mudah untuk memberi ubat ini pada ternakan yang sakit kerana ianya diberikan secara oral dan pasti ternakan akan meronta-ronta untuk melepaskan diri. Oleh itu kami menggunakan alat suntikan (syringe) berukuran 50ml dan hos pendek yang dipasang pada bahagian depan alat suntikan tadi. Setelah mengisi Scourban Plus ini mengikut kadar dosnya dalam alat suntikan, kami memberinya pada ternakan kami yang sakit dan kami dapati ianya mudah walaupun ternakan tadi meronta-ronta.


Lawatan Pelajar Ahli Kelab Permata Dari UiTM & UKM


Assalamualaikum & Salam 1 Malaysia,

Syukur Alhamdulillah, sekali lagi kami telah berjaya menjayakan lawatan pelajar dari 2 buah universiti semalam. 30 orang pelajar dari Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan 11 orang pelajar dari Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan kesemua pelajar ini merupakan ahli Kelab Permata. Taklimat diberikan oleh saya, Hj Hasan dan juga Abang Syed yang dijemput khas dari Lembaga Pertubuhan Pelandang (LPP).


Pelbagai penerangan dari segi teori dan juga teknikal telah kami bincangkan manakala Abang Syed menerangkan peranan Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) dari pelbagai segi. Seperti biasa selepas sesi taklimat dan soal jawab selesai kami membawa para pelajar melawat ke kandang kami. Setelah selesai sesi lawatan mereka dijamu dengan makan tengahari.


Terima kasih juga kami ucapkan kepada En Ismail dan juga En Aslam dari ASL Resources Training & Consultancy yang turut hadir semalam dan mereka merupakan agensi yang dipertanggungjawabkan untuk membawa pelajar-pelajar ini melawat ke kandang kami.



Saturday, February 12, 2011

Ubat Ternakan - Ferriade - BOMAC



Ferriade 200ml keluaran BOMAC merupakan ubat vitamin yang mengandungi zat besi dan vitamin A, D, E dan juga B12. Setiap 1ml mengandungi IRON DEXTRAN COMPLEX bersamaan dengan 100mg zat besi, Vitamin A (PALMITATE) 10,000 iu, CHOLECALCIFEROL (VIT. D3) 1,000 iu, TOCOPHERYL ACETATE (VIT. E) 10mg dan HYDROXOCOBALAMIN (VIT. B12) 20ug.

iu bermaksud (International Unit), iu adalah jumlah yang diterima oleh antarabangsa mengenai sesuatu zat dan jenis ukuran yang biasa digunakan untuk vitamin yang larut dalam lemak seperti vitamin A, D dan E dan juga beberapa hormon, enzim dan biologi seperti vaksin.

Ferriade merupakan formula khas untuk merawat dan mencegah kekurangan zat besi, anaemia, meningkatkan metabolisma karbohidrat, dan mencegah kekurangan vitamin A, D3, E dan B12 dalam ternakan lembu, kambing dan bebiri. Ia diberi secara suntikan pada otot atau bawah kulit dengan kadar dos 1-5ml seekor.

Friday, February 11, 2011

Promosi Pelet CK Agrifeed


Assalamualaikum & Salam 1 Malaysia,

Kepada semua pelawat baru dan juga kepada pelawat yang setia. Untuk makluman kepada semua rakan-rakan, kini CK Agrifeed sedang membuat promosi produk pelet ternakannya yang sememangnya berbaloi. Promosi bermula pada 15 Januari 2011 yang lepas hingga bulan Mac 2011.

Harga pelet membesar RM 17.00/25kg, manakala pelet probiotik RM 19.50/25kg. Dengan setiap pembelian 1 tan (40 beg) percuma 4 beg, 2 tan (80 beg) percuma 8 beg, 3 tan (120 beg) percuma 12 beg, 4 tan (160 beg) percuma 16 beg dan 5 tan (200 beg) percuma 20 beg. Untuk makluman lanjut boleh klik gambar yang kami lampirkan bersama pos ini atau hubungi terus pihak CK Agrifeed.

Monday, January 31, 2011

Terramycin LA - Pfizer - Ubat Ternakan


Assalamualaikum & Salam 1 Malaysia,

Oxytetracycline Dihydrate Terramycin LA 100ml keluaran Pfizer merupakan antara antibiotik yang kuat dan gemar di gunakan oleh para penternak. Setiap 1ml Terramycin LA mengandungi 200g Oxytetracycline Base dan ia amat berkesan untuk merawat dan mencegah bakteria yang menjadi punca masalah atau penyakit pernafasan dan juga penyakit yang anti-oxytetracycline bagi lembu, kambing, bebiri, rusa, ayam, arnab dan juga lain-lain ternakan.

Bagi lembu, kambing, bebiri dan rusa kadar dos suntikan 1ml adalah untuk 10kg berat badan, manakala 0.25ml untuk 1kg berat badan bagi ayam dan arnab. LA bermaksud Long Acting, iaitu Terramycin LA ini mampu bertahan di dalam darah ternakan yang telah disuntik selama 3 hingga 5 hari.


Namun bagi ternakan yang telah disuntik dengan Terramycin LA ini, adalah di larang untuk penyembelihan dagingnya selama 21 hari dan pemerahan susunya selama 7 hari. Ada juga sesetengah doktor veterinar dan penternak yang kurang gemar menggunakan Terramycin LA ini terus kerana dos antibiotiknya yang tinggi, mereka menyarankan agar penternak bermula dengan ubat antibiotik yang berdos rendah terdahulu.


Sebenarnya bermula dengan antibiotik atau ubat yang berdos tinggi tidaklah digalakkan kerana khuatir bakteria yang menyerang ternakan akan imun, oleh itu bermula dengan pemberian ubat yang berdos rendah dahulu sehinggalah ke ubat yang berdos tinggi. Sama juga dengan pemberian ubat untuk cacing, kutu dan kurap. Jika bakteria tadi telah imun dengan ubat yang berdos tinggi maka tiada cara selain mentakai atau menyembelih ternakan yang sakit tadi.


Namun pada pendapat kami jika bilangan ternakan telah melebihi 50 ekor adalah lebih baik menggunakan ubat antibiotik ini kerana kesannya yang mampu mencegah dan merawat penyakit agar ia tidak berjangkit pada ternakan yang lain dan kemampuannya bertahan di dalam darah selama 3 - 5 hari mampu menjimatkan masa & tenaga sekaligus menjimatkan kos. Untuk maklumat lanjut sila rujuk gambar di bawah ini.


Sunday, January 30, 2011

Mamimune - SunZun - Ubat Ternakan




Mamimune 200ml keluaran SunZun merupakan bahan imulsi untuk meningkatkan sistem imuniti atau daya tahan bagi anak kambing yang baru di lahirkan. Ia mengandungi ekstrak tumbuhan, peningkat imuniti dan juga multivitamin. Dengan pemberian secara oral, ianya di beri pada kadar dos 2-4ml iaitu sekali atau dua kali pam. Bagi anak kambing yang lemah, ulangi pemberian dos ini selama tiga hari beturut-turut.